Custom Search

Mengenai KGMS

Ditubuhkan pada tahun 1947,Kewujudan KGMS telah membantu meningkatkan taraf dan status guru-guru Melayu Singapura.KGMS adalah sebuah kesatuan sekerja Melayu Islam yang berfungsi sebagai sebuah persatuan.Dwifungsi ini telah memberi KGMS identiti yang unik.

Mengenai KGMS

Visi, Misi, Nilai dan Agenda Bertindak KGMS
Fungsi dan Peranan KGMS
Sejarah KGMS
Lagu KGMS
Logo KGMS

visi


Komited berkhidmat demi kecemerlangan anggota dan masyarakat

visi


Menjadikan KGMS sebuah kesatuan sekerja yang memperkukuhkan status anggota dan masyarakat melalui peluang peningkatan dan perkembangan potensi.

nilai

Komited, Gigih, Musyawarah, Segar

agenda bertindak

  1. Berkhidmat kepada anggota dan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih baik.
     
  2. Komited dalam menyediakan perkhidmatan untuk perkembangan total (intelektual, rohani dan jasmani) anggota dan masyarakat.
     
  3. Menyediakan saluran kepada anggota menghadapi kerjaya mereka dan membantu membangunkan masyarakat yang berwibawa.
     
  4. Menjadikan kesatuan satu institusi yang dapat meningkatkan imej dan pendidikan guru-guru Melayu.
     
  5. Membentuk anggota berkualiti melalui kursus peningkatan, menjaga kepentingan, kauseling dan khidmat nasihat secara profesional.
     
  6. Melahirkan anggota yang berwibawa dan menjadi tunggak wahana kemajuan masyarakat.

Fungsi & peranan


KGMS telah ditubuhkan pada 1947. Kewujudannya telah membantu meningkatkan taraf dan status guru-guru Melayu.

Sebagai sebuah kesatuan sekerja Melayu/Islam, KGMS sekaligus berfungsi sebagai sebuah persatuan. Ini menjadikan peranannya lebih luas. Dwifungsi ini telah memberi KGMS identiti yang unik. Kerjasama dengan badan-badan seperti Majlis Ugama Islam Singapura, Majlis Pusat dan Yayasan MENDAKI telah mengukuhkan lagi peranan KGMS.

Sebagai anggota kerabat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), KGMS telah dapat melibatkan diri dengan lain-lain kesatuan sekerja dalam kegiatan-kegiatan sosial, budaya dan riadah. Dalam arena antarabangsa pula, KGMS menjadi anggota Asean Council of Teachers (ACT) dan juga Education International (EI). Ini telah membolehkan KGMS menjalin hubungan rapat dengan lebih daripada 97 badan antarabangsa. Dalam perkembangan bahasa, KGMS sering mengambil bahagian dalam menganjurkan Pertemuan Guru-Guru Nusantara (PGN). Di samping mempunyai wakil di dalam Majlis Bahasa Melayu Singapura (JBMS), KGMS juga menganjurkan seminar dan ceramah mengenai bahasa Melayu.

Penglibatan anggota KGMS di dalam pentadbiran masjid dan madrasah begitu terserlah. Ramai juga anggota yang melibatkan diri dalam berbagai program anjuran Yayasan MENDAKI. Sebagai anggota institusi Yayasan MENDAKI, KGMS juga mengongsi visi dan aspirasi untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu/Islam Singapura.

KGMS juga menjadi anggota pertubuhan-pertubuhan berikut:

  • Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC)
     
  • Yayasan MENDAKI
     
  • Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud
     
  • Persatuan Rakyat

sejarah


Penubuhan dan perkembangannya

1926 - dikenali sebagai Majlis Perhimpunan Guru-guru Melayu Singapura/ Persekutuan Guru Melayu Singapura

10 Mei 1946 - Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura di Mesyuarat Agung khas di Sekolah Melayu Kota Raja)

Jun 1947 - Terdaftar sebagai Kesatuan Sekerja. Pejabat Kesatuan di Palembang Road

Pada peringkat awal KGMS dikelolakan dan ditadbir oleh guru-guru berikut:

Allahyarham A. Bakar H Ismail
Allahyarham Jaafar A Ghani
Allahyarham Abdullah H A Shukur
Allahyarham A Rahman H M Said

Yang Dipertua KGMS (1947 - 2003)

Sdr A Rahman H M Said
Sdr Ahmad Saharum
Sdr Muhammad Simin
Sdr Sidek Saniff
Sdr Wan Hussin Hj Zoohri
Sdr Shafawi Ahmad
Sdr Latiff Hj Taris
Sdr Hafiz Hussin
Sdr Suratman Markasan
Sdr Md Ma'mun HMF Suheimi
Sdr Bibi Jan Md Ayyub

Matlamat dan tujuan KGMS

Pada peringkat awal KGMS bertindak menuntut syarat perkhidmatan yang lebih baik (Memorandum kepada Suruhanjaya gaji [Trusted,Benham dan Cowgill] dan kepada Suruhanjaya Gaji Staff Side].

Menjaga, menitikberatkan dan memperjuangkan kesejahteraan guru.
Mengutamakan dan mempergiat soal-soal pendidikan, kebahasaan dan kemasyarakatan.

Berusaha ke arah meningkatkan pencapaian dan penataran guru di bidang akademik dan kerjaya guru.

Fungsi dan peranan KGMS

Bergiat dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan lain-lainnya bagi meningkatkan usaha bantu dan jaya diri masyarakat Melayu/Islam di Singapura.
Menyertai dan pelibatan dalam pergerakan buruh demi kesejahteraan para anggotanya.
Menyumbang dan berusaha memainkan peranan penting di bidang pendidikan, bahasa dan sastera Melayu.

Pelibatan KGMS - suatu catatan ringkas

Jun 1965 - Perundingan selama 18 tahun berhasil meningkatkan kedudukan dan status guru Melayu setara dengan khidmat guru yang lain.

1951 - Sebagai usaha melindungi pendidikan berbahasa Melayu, KGMS bertindak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Re-orientation Plan for Malay Schools. Penerimaannya dikhuatiri akan menjejas guru-guru Melayu dan dianggap sebagai suatu hambatan pemerintah Inggeris ketika itu terhadap usaha meningkatkan pendidikan Melayu.

1955 - KGMS bersama beberapa pertubuhan lain membentuk Majlis Pelajaran Melayu ; mahukan persekolahan Melayu sampai ke peringkat sekolah menengah sama seperti sekolah Inggeris pada masa itu.

1961 - Sekolah Menengah Melayu yang pertama didirikan ialah Sang Nila Utama dengan 45 kelas.

1964
- Buat julung-julung kali pendidikan prauniversiti berbahasa Melayu diadakan di Sekolah Menengah Sang Nila Utama.

1968 - KGMS bersama Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Kebudayaan Melayu Singapura (LTK) menganjurkan seminar untuk menangani masalah kemerosotan dalam pendidikan anak-anak Melayu.

1970 - KGMS menyarankan National System of Education (NSE). Walaupun sukar diterima pada mulanya tetapi pada tahun-tahun 80an, ciri-ciri pendidikan ini terserap dalam pendidikan di Singapura.

1982 - Pelibatan dalam kongres MENDAKI.

Pelibatan dengan Pertemuan Guru-guru Nusantara dan Asean Council of Teachers (ACT)

KGMS bersama Persatuan Guru-guru Melayu Brunei Darussalam, Persatuan Guru Republik Indonesia dan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat mengadakan Pertemuan Guru-guru Nusantara yang membahaskan isu-isu sekitar pendidikan, bahasa dan sastera.

Di peringkat `Asean Council of Teachers', diadakan perbincangan-perbincangan yang meneliti perkembangan pendidikan dan kerjaya perguruan di setiap negara anggota.

lagu


Hiduplah K.G.M.S.
giat maju dan terus berjasa
dengan satu padu kita
dengan tabah dan waspada
adil dan benar kita bela.

Hiduplah K.G.M.S.
giat maju dan terus berjasa
untuk bangsa dan untuk negara
bahu membahulah kita kerja.

Di sini kita di K.G.M.S.
usaha kita taja
sebulat kata bersama kerja
berbakti dan berjasa

Di sini kita di K.G.M.S.
berjuang kita sama
semula jaya, sehina hampa
berkorban kita rela

Hiduplah K.G.M.S.

Senikata : Muhd Ariff Ahmad
Lagu : Zubir Said

logo


KGMS
adalah singkatan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Huruf-huruf KGMS dibentuk dengan garisan yang tidak putus-putus dan berliku-liku melambangkan perjuangan KGMS yang berterusan dalam berkhidmat dan berbakti kepada anggotanya dan masyarakat umum.

Bentuk forward-outward thrust logo itu melambangkan Kesatuan memandang ke hadapan, menuju ke satu arah yang tidak ada akhirnya, mempunyai wawasan dan dinamisme bagi menghadapi hari muka.
Warna merah pulasan melambangkan satu pertubuhan profesional yang matang yang sentiasa memainkan peranan penting di Singapura.

Warna kuning keemasan melambangkan hasrat pencapaian tertinggi dan terbaik yang KGMS cita-citakan dalam segala urusan dan kegiatannya.

Dua garis melambangkan dwi-fungsi KGMS sebagai sebuah kesatuan sekerja dan juga sebuah pertubuhan Melayu/Islam; kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama berat.